Warga emas maut dihempap jentolak di Tenom
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
TENOM: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas dihempap jentolak yang dipandunya di Kampung Tuan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lagut, dekat sini.
Mangsa berusia lingkungan 60 tahun, dikatakan sedang melakukan kerja-kerja mengangkat tanah namun gagal mengawal jentera sebelum dihempap jentera berat berkenaan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.12 pagi.
Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan pacuan empat roda bomba terus dikerah ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pemandu jentolak itu berada di ruang pengendali dan disahkan meninggal dunia selepas operasi mengeluarkan mangsa berjaya dilakukan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 11.49 pagi tadi.