SPRM tahan lelaki terlibat tipu projek bernilai RM730,000

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.com

KOTA KINABALU (27 OKT): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat sini menahan seorang lelaki berusia 53 tahun kerana terlibat kes penipuan terhadap seorang pemilik syarikat berkenaan projek pembekalan bahan mentah kering dan basah bernilai RM730,000 pada tahun 2013.

Kira-kira jam 2.30 petang Rabu, suspek ketika memberi keterangan ditahan di pejabat SPRM.

Suspek disyaki memperdayakan pemilik syarikat berkenaan tawaran kerjasama menjalankan projek pembekalan bahan mentah kering dan basah sehingga mengakibatkan mangsa menanggung kerugian RM100,000.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini untuk sebutan kes.