Perseorangan badminton negara kini tangga kedua dunia

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.com

KUALA LUMPUR (26 OKT): Pemain handalan perseorangan negara, Lee Zii Jia kini berjaya menduduki tangga kedua dunia walaupun tidak dapat membawa pulang gelaran juara Terbuka Denmark Ahad lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, dia yang tewas kepada pemain China, Shi Yuqi 18-21, 21-16, 12-21 pada aksi final, tidak mengugat dirinya untuk terus memperbaiki kedudukan ranking apabila muncul naib juara pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Juara Asia itu mengutip 9,350 mata dalam kejohanan tersebut.

Ia merupakan ranking terbaik dalam karier pemain dari Alor Setar, Kedah itu dengan mengumpul 92,528 mata keseluruhan, berada di belakang jaguh Demark, Viktor Axelsen (122,606 mata).

Sementara itu, seorang lagi pemain muda negara, Leong Jun Hao turut merasai kenaikan dalam ranking dunia setelah muncul juara Masters Indonesia, Ahad lalu yang memberi inspirasi baharu kepadanya.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Rabu juga memaklumkan bahawa Jun Hao, 23, menerima kenaikan mendadak 28 anak tangga ke kedudukan ke-73 dunia.

Bagi kategori beregu lelaki, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tangga keempat.

Dua lagi beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Eei Yi serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak mengalami perubahan di kedudukan kesembilan dan ke-10.

Beregu campuran nombor satu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula mengalami kenaikan satu anak tangga ke kedudukan kesembilan dunia.