Lagi insiden kemalangan maut suami isteri

editor@bayunews.net

LENGGONG (25 OKT): Insiden kemalangan kenderaan tidak dapat dipisahkan dari medan pengguna jalan raya.

Semalam, sepasang suami isteri menemui ajal apabila skuter jenis KYMCO yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta jenis Proton Iswara di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu.

Kira-kira jam 6 petang berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu itu, mangsa, Azranawi Radzi, 42, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.

Sementara itu, remaja berusia 14 tahun penumpang Proton Iswara patah betis kiri dan bahu kanan manakala bapanya memandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dan isteri yang menunggang skuter dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar.

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 47 tahun keluar secara mengejut dari simpang kanan.

“Mangsa bagaimanapun tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat lalu melanggar bahagian sisi belakang kenderaan terbabit.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.