Pelajar Sabah sukar balik mengundi tambang penerbangan mahal
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (25 OKT): Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 yang kian dirasai sedikit sebanyak mempengaruhi para pengundi di perantauan khususnya golongan pelajar.
Perkara ini turut memberi kesan kepada pelajar Sabah di Semenanjung yang ingin pulang mengundi pada 19 November depan susulan peningkatan tambang penerbangan.
Hal ini disuarakan Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah apabila kadar semasa tambang ditawarkan syarikat penerbangan disifatkan mereka sebagai harga ‘Yahudi’.
Kenyataan kedua-dua badan itu, Presiden MARSIS, Mohd Shahrul Izzat Basri dan Timbalan Pengerusi GAMIS Sabah, Mohd Faizal Kambah, berkata kos tambang menjadi kebimbangan utama mahasiswa tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Mereka berkata, meskipun cuti pelepasan selama lima hari diberikan kepada pelajar untuk pulang supaya dapat mengundi pada PRU15, namun ia tidak memberi apa-apa makna jika ada pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan yang mahal.
“Terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas satu inisiatif yang baik daripada kementerian untuk menggalakkan mahasiswa pulang mengundi pada PRU15.
“Namun, terdapat perkara yang mengecewakan mahasiswa khususnya kepada anak Sabah iaitu harga tiket penerbangan ke Sabah masih berada pada tingkat harga yang mahal dan bersifat harga ‘Yahudi’.
“Ini sebenarnya antara kerisauan kepada mahasiswa apabila mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya.
Sebelum ini, KPT bersetuju supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari bermula 17 hingga 21 November depan kepada mahasiswa untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
Mohd Shahrul Izzat berkata, isu tiket penerbangan mahal ke Sabah bukanlah suatu perkara yang baharu tetapi sudah menjadi senario tahunan yang sering dibangkitkan berikutan belum ada jalan penyelesaian konkrit dan terancang diambil khususnya kerajaan Sabah.
“Sebelum ini MARSIS juga ada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ini iaitu Harga Tiket Ke Borneo Mahal pada musim perayaan yang membebankan mahasiswa dan anak perantau untuk pulang menyambut Aidilfitri.
“Perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama KPT, Menteri Pengangkutan, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Ketua Menteri kerana bimbang kepada mahasiswa Sabah yang ada kesedaran mengundi tidak dapat pulang mengundi.
“Selain itu kebimbangan lain ialah objektif utama kementerian memberi cuti pelepasan lima hari tidak tercapai iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sebagai pengundi,” katanya.
Katanya, MARSIS dan GAMIS sangat mengambil berat kebimbangan itu dan berharap ada persetujuan serta perbincangan yang berfokus bersama syarikat penerbangan khusus untuk menyelesaikan isu tiket penerbangan mahal.
“Ini bagi memastikan tanggungjawab sebagai pengundi dapat dilaksanakan oleh mahasiswa sekali gus mereka dapat memanfaatkan cuti pelepasan lima hari itu. Kita yakin mereka inilah pemimpin pelapis kepada kepemimpinan negeri dan negara pada masa akan datang,” katanya.