Pelan Pembangunan Labuan 2030 mampu pelbagai sektor ekonomi
editor@bayunews.net
LABUAN (24 OKT): Pelan pembangunan Labuan 2030 dilancarkan pada tahun 2018 dirangka merangkumi kepelbagaian pembangunan fizikal dan sektor ekonomi dalam memacu pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, pelan itu mampu memenuhi keperluan sektor ekonomi sedia ada dan bakal diwujudkan.
“Sekiranya kesemua (projek pembangunan) dilaksanakan, Labuan tidak perlu bergantung kepada sektor minyak dan gas (O&G),” katanya selepas berucap pada Majlis Amanat Jelajah Keluarga Malaysia di Dewan Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini semalam.
Beliau berkata lima hala tuju yang dirangka dalam pelan pembangunan itu antara lain memberi fokus kepada pembangunan sektor perniagaan dan kewangan Labuan, sejajar dengan sumbangan pendapatan (melalui pungutan cukai) kepada negara daripada sektor ini.
“Selain itu, pelan pembangunan ini turut memberi penekanan kepada sektor O&G serta sektor pelancongan yang boleh memacu ekonomi Labuan ke tahap membanggakan.
“Sektor pendidikan juga antara yang diberi perhatian dalam pelan pembangunan ini bagi memperkasakan pembangunan modal insan di sini,” katanya.
Ismail Sabri turut menyentuh isu bekalan air dan beliau berkata lapan projek pemulihan (penggantian paip usang) dan naik taraf loji rawatan air dilaksanakan pada tahun ini.
“Kerajaan sedar kesulitan yang dihadapi rakyat di Labuan dan kerajaan sudah semestinya akan berbuat sesuatu demi kebajikan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata cadangan projek pembinaan Kolej MRSM di Labuan sudah lama diluluskan dan seharusnya boleh dilaksanakan berikutan tanah tersedia.