Mayat lelaki ditemukan terdampar di Teluk Sepanggar

editor@bayunews.net

SEPANGGAR (23 OKT): Mayat seorang lelaki ditemui terdampar dalam keadaan tertiarap di tepi laut berhampiran Kilang beras di Teluk Sepanggar dekat sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.49 malam.
Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mengambil mayat berkenaan.
“Kami menerima panggilan daripada pihak polis untuk membantu mengangkat mayat yang ditemukan di tepi laut di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, terdapat mayat seorang lelaki terdampar di tepi laut dalam keadaan tertiarap,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba segera mengangkat mayat berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Identiti mangsa masih belum diperolehi dan mayat berkenaan kemudian dihantar ke Hospital bagi tujuan proses bedah siasat.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di sekitar kawasan kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.53 malam,” katanya