Centre Point anjur Kempen Derma Darah 12 November ini

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (21 OKT):  Centre Point Sabah (CPS) akan menganjurkan lagi Kempen Derma Darah dengan menyasarkan 1,200 pain darah pada 12 November ini.

Kempen kali ini diadakan di Tingkat Bawah CPS pada jam 8.30 pagi hingga 9.30 malam manakala Tingkat 4 Palm Square pada jam 8.30 pagi hingga 5 petang, menurut satu kenyataan pusat beli-belah itu.

“Kempen ini juga kerjasama diantara CPS dan Kelab Lions KK Mandarin. Orang ramai dijemput beramai-ramai hadir ke program berkenaan bagi bersama-sama menjayakan sasaran itu,” tambahnya.

Setiap penderma yang layak menderma akan menerima beg penuh dengan hadiah sagu hati (siapa cepat, dia dapat).

Selain itu, Hotel Mercure Bandaraya Kota Kinabalu turut menaja dua baucar penginapan dua hari satu malam (termasuk sarapan pagi untuk dua orang) bernilai sehingga RM300, dan dua set baucar makan malam untuk dua orang.

Kempen kali ini juga menawarkan dua baucar makanan serta minuman percuma di Chef’s Tea Delight di Piano Lounge untuk dua orang di Hotel Grandis.

Manakala, Hotel Le Meridien juga menaja baucar makan malam bufet hujung minggu untuk dua orang.

Di samping itu, 23 penganjur lain akan menyertai kempen ini termasuk Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Hospital Kudat, Hospital Beaufort, Hospital Ranau, Hospital Tambunan, Hospital Keningau.

Turut serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Penampang, Kelab Lions KK Centennial, Kelab Lions Tanjung Aru, Kelab Lions Tuaran, Persatuan Alumni Taiwan Sabah, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah KK, Persekutuan Persatuan Wanita Cina Sabah, Persatuan Kebajikan Cina Sabah, Persatuan Puak KK Zhang, Persatuan Komuniti Perniagaan (ABC), Persatuan Pemandu Pelancong Sabah, Kelab Lions Ranau, Kelab Lions KK Lintas, Kelab Lions KK Capital dan Kelab Lions Kota Kinabalu Asia City.