Elak aktiviti cetus renjatan elektrik : SESB
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (19 OKT): Sejak kebelakangan ini, kejadian renjatan elektrik agak kerap berlaku sehingga mengakibatkan kemusnahan, kecederaan dan lebih malang lagi mampu meragut nyawa orang awam.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) disini menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengundang kepada terkena renjatan serta gangguan bekalan elektrik.
Menurut satu laporan berita tempatan di sini, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Idris Mohd Noor menjelaskan sebarang aktiviti yang bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.
Aktiviti itu termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di kawasan bawah talian dan bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik.
Kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan menggunakan kawasan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk aktiviti padang permainan, sukan dan berkaitan pasar awam turut merbahaya.
Semua pencawang dan pepasangan elektrik adalah kawasan yang berisiko untuk terkena renjatan elektrik dan apa jua aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan.
Beliau berkata aktiviti terbabit boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa.
SESB turut mempergiat program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah keselamatan yang boleh diambil melalui medium media sosial, akhbar dan radio.
“Sehubungan itu, SESB memohon semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB terlebih dahulu berkenaan keperluan yang perlu dipatuhi sebelum melakukan sebarang aktiviti berhampiran pepasangan elektrik milik SESB.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi talian 15454 atau 088-51500 atau menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp secara terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti berbahaya berhampiran pepasangan elektrik SESB.
“Laporan berkenaan masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik atau tiang tumbang juga boleh dilaporkan di talian sama,” katanya.