Lelaki hilang di Kampung Kitapol, Kiulu ditemui selamat
editor@bayunews.net
TUARAN (17 OKT): Lelaki berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang beberapa hari lalu kini ditemui selamat di sebuah pondok kebun getah kira-kira 10 kilometer dari Kampung Kitapol, Kiulu dekat sini lewat Sabtu.
Ireneus@Hendry Anthony, 25, ditemui penduduk kampung dikatakan merajuk dengan saudaranya sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke rumah datuknya di Kampung Sinansag.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga ditamatkan kira-kira jam 12 tengah hari sebaik dimaklumkan penemuan terbabit.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mahu berdepan pasukan penyelamat atas sebab peribadi dan hanya memaklumkan dirinya dalam keadaan sihat.
“Ahli keluarga mangsa juga memohon pasukan penyelamat agar tidak meneruskan operasi dan meminta agar kejadian itu diuruskan oleh ahli keluarga,” katanya.
Abdul Qawie berkata, mangsa yang bermalam di pondok berkenaan mendapatkan sumber makanan dari tanaman sayuran berhampirannya.
Mangsa berjalan melalui laluan kebun getah dan hutan sejauh 14 kilometer untuk tiba ke rumah datuknya.
Bagaimanapun, hasrat meneruskan perjalanan dibatalkan dan mengambil keputusan bermalam di sebuah pondok itu.