Dua lelaki terselamat kena renjatan elektrik di Penampang
editor@bayunews.net
PENAMPANG (9 OKT): Dua lelaki terselamat akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Bundusan, dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa masing-masing berumur 26 dan 35 tahun mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Zenno Tingalan berkata, sebelum kejadian kedua-dua mangsa sedang bertugas memasang papan iklan di kawasan terbabit.
“Mangsa dilaporkan cedera akibat melecur di bahagian perut dan kaki serta mengadu sesak nafas sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.23 pagi.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 11.50 pagi.