
Pertemuan penulis khat Islam antarabangsa november depan

Jabatan Penerangan Sabah
editor@bayunews.net
SANDAKAN: Sabah bakal menjadi tumpuan dunia menerusi penganjuran Pertemuan Penulis Khat Islam Antarabangsa di Kundasang, November depan.
Menurut Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, pertemuan itu akan menghimpunkan para karyawan seni khat Islam sedunia termasuk dari Timur Tengah dalam usaha mengangkat martabat seni khat Islam.
“Hasil usaha berterusan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), kita telah berjaya melaksanakan pertandingan khat di peringkat kebangsaan, Asean, Borneo dan nusantara untuk memartabatkan seni khat Islam.
“Ke arah itu juga, kita akan pastikan Galeri Perpustakaan Islam Sabah kelak akan dipenuhi dengan hasil karya seni khat yang bermutu tinggi untuk dipamerkan.
“Kita juga merancang untuk mengadakan pertemuan penulis khat antarabangsa di Kundasang dalam November ini dan saya berharap para penggiat khat dan guru-guru khat akan bersama-sama dalam pertemuan ini kelak sebagai pendorong dan peransang semangat penggiat di negeri ini dan negara luar,” jelasnya.
Tambah Arifin, penganjuran program itu juga merupakan salah satu usaha menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan kebudayaan serta kesusasteraan Islam.
“Kita akan mengundang para karyawan khat Islam terkenal dari Mesir, Turki dan sebagainya untuk bermukim di Sabah.
“Tujuannya adalah untuk menjadikan Sabah sebagai satu lagi dataran kesenian Islam khat selepas kita berjaya lebih 10 tahun menganjurkan pertandingan khat di pelbagai peringkat.
“Kedua, untuk menarik minat pelancong menerusi seni dan kebudayaan tamadun Islam khususnya khat, sastera dan bahasa,” katanya ketika berucap merasmikan Bengkel Seni Khat Islami sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Masyarakat, pada Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jheains, Mohammad Sidik Awang Adi yang juga Pengerusi Penganjur bengkel berkenaan memaklumkan, penganjuran bengkel sehari itu adalah melibatkan persatuan, jabatan serta agensi kerajaan, sekolah dan institusi pendidikan untuk memperkasa seni khat Islami di Sabah.
“Seni khat ini dikembangkan melalui pertandingan sepanduk dan bengkel seni khat yang dikongsi secara bersama oleh penulis-penulis dari luar negara.
“Objektif penganjuran adalah untuk memberi pendedahan secara konsisten dan berterusan tentang seni khat Islami kepada masyarakat, menggalakkan masyarakat Sabah supaya terlibat secara aktif dalam seni khat dan melahirkan generasi yang mendominasi disiplin ilmu Islami khususnya seni khat,” ujarnya.
Pada majlis itu, Arifin diiringi Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Omar Raisul Assalam Syah Sulaiman Omar dan Setiausaha yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Ramlan Awang Ali menyampaikan sijil penghargaan kepada para tiga penceramah iaitu Yang DiPertua Pertubuhan Seni Khat Kebangsaan (PSK), Dr Abd Rahman Hamzah, Diwani Kraf Shah Alam, Tahfiz Lauhah, Abdul Baki Bakar dan penceramah jemputan, Kurnia Agung Robiansyah dari Noqtah Art Jakarta, Indonesia.
Antara peserta bengkel adalah Persatuan Seni Khat Negeri Sabah, Perkips Hospital Duchess of Kent Sandakan, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Imigresen Sandakan, Kolej Vokasional, Kolej Tingkatan 6 Pangeran Galpam Sandakan, KAFA Kinabatangan, SMKA Tun Juhar, SMA Nurudin, SMK Chung Hwa, SM Integrasi Darul Hassan, SMK Sandakan 2, SMK Merpati, SMK Elopura 2, SMK Elopura Bestari, SMK Taman Fajar, SM Sung Siew, SMA Negeri Tanjung Papat, SMA Ulu Dusun, SR Sungai Padang, SR Integrasi Tahfiz Al Baghdadi, Madrasah Riadhussholihin, Mahad Tahfiz Al Quran Wasunnah dan SK Batu Putih Baru./Penerangan-