KOTA KINABALU : Agenda pembangunan negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan menampakkan hasil positif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri bagaimanapun, akan terus bertekad untuk memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri, di samping menambah baik kualiti hidup rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.
“Dalam konteks ini, kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta jaringan komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik dan mengurangkan kemiskinan.
“Selain itu, kerajaan akan menambah peluang pekerjaan, mempertingkatkan tahap keselamatan dan yang lebih penting, membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik Covid-19,” jelas beliau.
Menurut Hajiji, Sabah telah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 September tahun ini, di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12.
“Ini menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion yang diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan yang diluluskan di Sabah,” katanya dalam Ucapan Menjunjung Kasih dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Hari Jadi Rasmi Ke-69 Yang di- Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Beliau mewakili seluruh rakyat Sabah mengucapkan Selamat Hari Jadi Ke-69 kepada Tun Juhar dan berharap pengurniaan tersebut dapat menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan Sabah agar terus maju, makmur dan sejahtera.
Sumber : PENERANGAN