Atom VB terima sumbangan jersi daripada Persatuan Penggerak Multimedia Sabah
KOTA BELUD (28 SEPT): Pasukan Atom VB menerima sumbangan peralatan sukan set jersi daripada Persatuan Penggerak Multimedia Negeri Sabah (PPMNS) sebagai persediaan kumpulan itu menyertai perlawanan persahabatan dalam siri Jelajah Rakan Sukan Belia Sabah 2022 – 2023 musim ini.
Penaung Persatuan Penggerak Multimedia Negeri Sabah (PPMNS) Azuwan Marjan@Norjan menyampaikan sumbangan kepada empat belas pemain bola tampar terdiri daripada gabungan belia daerah ini pada Selasa di Gelanggang Futsal Kampung Sorob, dekat sini.
“Pasukan ini akan diberi latihan yang secukupnya untuk persediaan lebih konsisten beraksi dalam perlawanan persahabatan yang akan datang,” katanya.
Azuwan yang juga Pengerusi Pertubuhan Bola Tampar Kota Belud berkata, beliau akan sentiasa mengikuti perkembangan setiap pasukan-pasukan yang ada di daerah ini sebagai usaha mencari pelapis muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kumpulan yang ditubuhkan PPMNS pada Ogos lalu itu diinsipirasikan menerusi perlawanan persahabatan bola tampar Kota Belud- Ranau di Kampung Lohan, Ranau telah menarik minat persatuan berkenaan untuk menjadikan Atom VB selaku pasukan penghubung menyatukan para belia dalam sukan bola tampar di daerah ini.
Beliau juga berharap dengan sumbangan jersi itu sedikit-sebanyak mampu menyuntik semangat pemain dan bergiat aktif sepanjang Jelajah Rakan Sukan Belia Sabah dianjurkan.