Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyeberang sungai

TAMBUNAN (27 SEPT): Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang semasa cuba menyeberangi sungai di Kampung Labou-Labou di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian jam 6 petang kelmarin itu membabitkan mangsa yang dikenali sebagai Helry Junior Michel, 29 dan hilang dipercayai dihanyutkan arus deras.

“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.20 petang sebelum menggegaskan sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau bagaimanapun berkata setakat ini mangsa masih gagal ditemui dan tiada sebarang petunjuk berjaya dikesan.

“Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 2.16 pagi selepas keadaan cuaca yang gelap menyukarkan operasi SAR.

“Operasi disambung semula jam 7 pagi semalam dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo