
Formasi Bendera Malaysia guna dron meriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Sk Gayang
TUARAN (26 SEPT): Lebih 500 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang hadir termasuk ibu bapa memeriahkan Penutupan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Sekolah, baru-baru ini.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang Rajayah Jiran berkata, setiap murid merupakan penerus generasi masa depan dalam menerajui tampuk pembangunan dan kepimpinan negara kelak.

“Anak-anak yang ada hari ini adalah permata bernilai buat kita semua. Penerangan dan pendedahan berkenaan Sambutan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan perlu dipupuk serta disemai sedari kecil.
“Sambutan acara tahunan ini sudah pastinya dapat memupuk semangat cintakan tanah air dan perpaduan buat semua,” katanya ketika merasmikan program itu.
Tambahnya, sambutan kali ini lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya kerana matlamat utama program adalah menyuburkan semangat cintakan negara dengan memberi pendedahan kepada para murid dan orang ramai berkenaan intipati simbol, lambang, dan tokoh kepimpinan negara.

Sambutan yang dianjurkan selama sehari itu berlangsung dengan gilang-gemilang di padang sekolah berkenaan yang menyaksikan aktiviti Formasi Bendera Malaysia menggunakan dron selama 15 minit di ruang udara padang sekolah berkenaan menjadi acara kemuncak yang paling meriah dan memukau tetamu yang hadir.
Anjuran itu bertambah ceria apabila warga sekolah, ibu bapa dan para murid turut mengenakan busana tradisi Keluarga Malaysia.
Antara pertandingan yang dianjurkan Basikal Berhias, Kelas Patriotik, Potret Guru Patriotik, Busana Kreatif, Anugerah Khas Tokoh Merdeka, persembahan tarian dan koir para murid, dan persembahan Guru Pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Tuaran.





