Program Doa Keluarga Malaysia Teguh Bersama buka tirai
KOTA KINABALU (26 SEPT) : Persatuan Bumiputera Kristian Sabah (PBKS) membuka tirai program Doa Keluarga Malaysia Teguh Bersama, pada Sabtu.
Pembukaan program anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) sempena Sambutan Hari Malaysia itu diadakan di Gereja Pelita Cahaya Damai dan dirasmikan oleh Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison.
“Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kepada persatuan keagamaan bukan Islam untuk turut serta mendoakan kesejahteraan, keharmonian serta kemakmuran negara.
“Saya berharap agar melalui program ini, kita dapat memperlihatkan bahawa kita boleh hidup penuh bertoleransi antara satu sama lain dan semoga program ini dapat diteruskan pada skala yang lebih besar di masa akan datang,” ujar Mackey.
Selepas PBKS, program tersebut akan disusuli oleh beberapa persatuan keagamaan yang lain iaitu Persatuan Kinabalu Singh Sabha, Gabungan Persatuan Cina Sabah dan Persatuan Malaysia Hindu Sangam Sabah di pusat ibadah masing-masing.
Hadir sama, Presiden PBKS, Rev. Jellin Wandak dan Pengerusi Majlis Hindu Sangam Negeri Sabah, Datuk Dr. K. Mathavan.
Sumber: Penerangan