KKM rancang tempatkan sekurang-kurangnya dua pakar perubatan keluarga di klinik kesihatan

KOTA KINABALU (22 SEPT) : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk menempatkan sekurang-kurangnya dua pakar perubatan keluarga (FMS) di Klinik Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan itu adalah bagi mempertingkat perkhidmatan kesihatan terutama di kawasan bandar dan luar bandar.

“KKM dalam Kertas Putih Kesihatan akan memfokuskan terutama kepada barisan hadapan atau kesihatan keluarga dengan memperkasa pakar perubatan keluarga di Klinik Kesihatan.

“Penempatan bidang perubatan keluarga memastikan pasukan perubatan berada dekat dengan komuniti dalam melaksanakan pencegahan dan rawatan awal kepada komuniti.

“Jika dilihat dalam keadaan geografi Sabah dan Sarawak, semua maklum jarak untuk memberikan rawatan adalah sukar iaitu purata setiap lima kilometer ada satu klinik kesihatan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Saintifik Pakar Perubatan Keluarga ke-24 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Beliau berkata sekiranya dahulu, klinik kesihatan dipimpin oleh pegawai perubatan dan KKM merancang menempatkan kepakaran perubatan keluarga terbabit sekurang-kurangnya dua pakar di setiap klinik terbabit.

“Dengan adanya kepakaran perubatan keluarga di klinik kesihatan itu mampu memimpin pegawai perubatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan dan kesihatan.

“Kita juga mengadakan program outreach untuk sampai ke pedalaman dan pelaburan KKM untuk melihat perkembangan yang matang dalam perubatan keluarga selain meningkatkan lebih banyak proses perubatan keluarga di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata untuk meningkatkan proses terbabit KKM melaksanakan dua kaedah iaitu latihan kepakaran perubatan keluarga yang ditawarkan di universiti tempatan bagi Sarjana Perubatan Keluarga serta melalui laluan paralel bawah program ditawarkan AFPM di luar negara.

“Kita akan tingkatkan kepada 100 kapasiti berbanding sebelum ini yang hanya mempunyai 42 fasiliti pakar perubatan keluarga.

“Spektrum perubatan negara memiliki kira-kira 1,100 dengan 700 bagi KKM dan program ini dijangka akan menambah lebih 100 hingga 120 kapasiti setiap tahun bagi laluan paralel bawah program ditawarkan AFPM dan mengeluarkan 100 pakar untuk latihan kepakaran perubatan awam,” katanya.

Menurutnya konsep ini akan memudahkan konsep sama rata antara hospital dan klinik kesihatan selain memudahkan komuniti mendapatkan rawatan kesihatan dengan lebih dekat.

“Ini juga boleh mengurangkan kesesakan di hospital dan memperkasa perubatan keluarga dalam komuniti.

“Kita juga mengharapkan agar peruntukkan kertas putih KKM ditambah kepada lima peratus berbanding tambahan dua peratus sebelum ini bagi membolehkan klinik usang di pedalaman dapat ditambah baik seterusnya menempatkan pakar perubatan keluarga di klinik terbabit.

“Ubat-ubatan yang diguna pakai di hospital juga boleh didapati di klinik kesihatan terbabit dan hanya kes tertentu sahaja memerlukan kehadiran pesakit ditempatkan di hospital,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata negara masih kekurangan kira-kira 8,000 pakar perubatan keluarga yang perlu ditempatkan di klinik kesihatan seluruh negara.

Sumber: Utusan Borneo