Pelajar IPT ditahan miliki bahan pornografi kanak-kanak
KUALA LUMPUR (22 SEPT) : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lelaki warga asing kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya, tangkapan ke atas suspek adalah hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).
“Suspek berusia 24 tahun dan pelajar di sebuah IPT. Pemeriksaan lanjut ke atas suspek berjaya menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit miliknya.
“Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan bagi mendapat bahan berunsur seksual (sextortion).
“Kesemua mangsa terdiri daripada kanak-kanak di luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Noorsiah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk pertuduhan pada hari ini mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan·Kesalahan Seksual Terhadap Kanak·Kanak 2017 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga puluh tahun dan sebatan.
“Pertuduhan juga akan dibuat mengikut Seksyen 10 akta yang sama dengan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Sumber: BH