Akibat gagal kawal kereta dipandu

KOTA TINGGI (22 SEPT): Seorang pemandu kereta terselamat apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu terjunam ke halaman sebuah rumah penduduk di Jalan Aman, Felda Lok Heng Selatan di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira jam 7.30 petang menerusi Facebook.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu kereta itu hilang kawalan ketika dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, lalu terjunam menghentam bumbung sebuah kediaman sebelum jatuh ke halaman.

“Akibat daripada kemalangan itu, lelaki berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan luka kecil di dahi,” katanya.

Hussin berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan lalu lintas tidak sibuk,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Sumber: BH