
Sarawak masih berdepan isu kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu

KOTA SAMARAHAN (20 SEPT) : Sarawak masih berdepan isu kekurangan guru bagi mata pelajaran tertentu walaupun sudah melebihi sasaran nisbah 90:10 guru tempatan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, antara mata pelajaran terlibat adalah Pendidikan Agama Islam.
“Pada masa ini, sekitar 95 atau 94 peratus penempatan guru berasal dari Sarawak telah mengajar di negeri kelahiran mereka. Itu bermakna kita telah melebihi dasar 90:10 guru tempatan.
“Bagaimanapun, masalah kekurangan guru masih menjadi isu yang perlu ditangani terutama melibatkan kumpulan guru yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kit Robot Rero: Mikro di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) pada Isnin.
Sagah semasa melawat Pameran Pengaturcaraan Robot pada Majlis Penyerahan Kit Robot Rero: Mikro pada Isnin.
Sagah berkata, kementeriannya sudah mengadakan perbincangan mengenai isu kekurangan guru di Sarawak bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 8 September lalu.
“Kita sudah pun berbincang dengan SPP dan terpulang kepada mereka untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Sementara itu, Sagah berkata kementeriannya berhasrat menjalankan kolaboratif bersama setiap Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak untuk mengadakan program berkaitan robotik termasuk penggunaan bahasa Inggeris.
Katanya, kementeriannya juga akan menjalankan kerjasama dengan universiti-universiti tempatan dalam memajukan dan memperluaskan kegunaan program berkaitan komputer, cara kejuruteraan baharu dan sebagainya.
“Pelaksanaan program seperti ini sudah tentu memberi peluang dan ruang untuk meningkatkan dan menanam minat anak-anak di sekolah berhubung kepentingan teknologi baharu ini.
“Secara tidak langsung, ia juga mendedahkan mereka mengetahui penggunaan kaedah berkaitan digitalisasi dan penggunaan komputer, kecerdasan buatan (AI) dan semuanya.
“Hal ini tentu sangat berguna kepada kita pada masa akan datang sebab ia memberi mereka peluang dalam membuat reka bentuk seperti keselamatan dalam kereta berkaitan mikrocip dan lain-lain,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 41 sekolah rendah di sekitar Samarahan diberikan kit Robot Rero Mikro sebagai salah satu usaha meningkatkan kemahiran dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak.
Usaha itu dijalankan bersama Kerajaan Sarawak, IPGKTAR dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan.
Sumber: Utusan Borneo