
Penduduk Diminta Bersiap Sedia Hadapi Kemungkinan Gelombang Banjir Keempat
BEAUFORT: Penduduk di beberapa daerah di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Barat dan pedalaman negeri ini, dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir keempat tahun ini susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam berkata, keadaan cuaca semasa menunjukkan kemungkinan beberapa daerah seperti Pitas, Paitan dan Kota Marudu berdepan banjir sebelum ia berpotensi menjejaskan kawasan lain termasuk Beaufort.
Menurutnya, keadaan cuaca mendung yang bermula sejak semalam turut menimbulkan kebimbangan sekiranya hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Jika keadaan cuaca ini berterusan, ia berpotensi mengakibatkan gelombang banjir keempat berlaku pada tahun ini.
“Namun kita berharap perkara itu tidak berlaku ketika umat Islam sedang membuat persiapan menyambut Hari Raya. Bagaimanapun, jika banjir tetap berlaku, kita perlu reda dan menerimanya dengan sabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program pengagihan bubur kacang anjuran Persatuan Bersatu Bisaya Sabah di sini pada Rabu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, sepanjang tahun 2026, Sabah telah berdepan tiga gelombang banjir iaitu sekali pada Januari dan dua kali pada Februari.
Katanya, keadaan cuaca di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau dan Tambunan juga boleh mempengaruhi situasi banjir di kawasan hilir seperti Beaufort.
“Berdasarkan sejarah sebelum ini, apabila kawasan Kota Marudu dan Paitan dilanda banjir, kawasan Beaufort biasanya akan menyusul selepas itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menghadkan pergerakan dan sambutan Hari Raya sekiranya banjir berlaku.
“Jika banjir berlaku ketika Hari Raya, sambutan mungkin agak terhad kerana ahli keluarga sukar bergerak dari rumah ke rumah. Apa yang penting adalah keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang merancang pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri agar memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta memandu dengan berhati-hati.
Katanya, pemandu juga dinasihatkan supaya berehat secukupnya, terutama ketika memandu dalam keadaan berpuasa bagi mengelakkan rasa mengantuk yang boleh mengundang bahaya di jalan raya.
“Keluarga di kampung sentiasa menanti kepulangan ahli keluarga masing-masing, jadi pastikan perjalanan dibuat dengan selamat,” katanya.





