Keluarga Malaysia Teguh Bersama di Padang Merdeka

KOTA KINABALU :   Padang Merdeka Kota Kinabalu yang menyaksikan perisytiharan Sabah menyertai pembentukan Malaysia pada 59 tahun lalu, hari ini, menjadi medan menghimpunkan 5,000 orang.

Bertemakan “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, nyata rakyat Malaysia di Sabah tidak ketinggalan dalam meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2022.

Lazimnya, sambutan dimulakan dengan Upacara Menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekaligus dikumandangkan lagu kebangsaan, “Negaraku” dan lagu kebesaran negeri, “Sabah Tanah Airku” oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia.

Menyusul selepas itu adalah lagu “Sabah Maju Jaya” yang liriknya dicipta oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk (Datu) Rosmadi Sulai, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Datuk Armizan Ali dan Komposer, Donald Guntavid, diikuti Tari Sambut Tamu oleh 20 orang artis budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Aturcara diteruskan dengan ucapan aluan Timbalan Ketua Menteri Sabah I dan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah, disusuli ucapan penyempurnaan sambutan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Selesai ucapan, Bung dan isteri, Datin Seri Panglima Nor Asidah Alimuddin kemudiannya menjemput Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Hajiji dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag untuk Upacara Memotong Kek Hari Malaysia 2022, sambil diiringi Pembantu Menteri JKR, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Hanafiah Kassim.

Hadir sama,  Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Noraini Salleh

Menteri-menteri Kabinet Negeri Sabah dan isteri, Timbalan-timbalan Ketua Menteri dan isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri,Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong dan isteri.

Turut berlangsung penyampaian Sijil Khas Penghargaan kepada empat atlet Sukan Pencak Silat Dunia 2022 yang menampilkan kira-kira 500 atlet dari 40 negara termasuk India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Mesir, Amerika Syarikat, Belanda, United Kingdom di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 26 hingga 31 Julai lalu. 

Para penerima terdiri daripada Pesilat Terbaik Putri, Nor Farah Mazlan (Kg Taun Gusi Kota Belud), Pemenang Pingat Emas Kategori Solo Kreatif, Merrywati Manuil (Keningau), Pemenang Pingat Emas Kategori Ganda Putra, Sazzlan Yuga (Tawau) serta Pemenang Pingat Emas Kategori Bergu Putra dan Pingat Perak Tunggal Putra, Luqman Laji (Keningau).

Seorang lagi penerima sijil khas bekenaan ialah Juara Remaja Dunia 2022, Dazaisy Hafiy Aznee (Sandakan) dalam Kejohanan Muaythai Remaja Dunia 2022 melibatkan penyertaan 101 buah negara di Sunway Pyramid Convention Center, Kuala Lumpur pada 9 hingga 21 Ogos lepas. 

Seterusnya, montaj Hari Malaysia yang bermula pada 16 September 1963 dan montaj Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 dipertontonkan, sebelum Tun Juhar menerima Jalur Gemilang daripada Ketua Konvoi KMKM 2022, Supian Musa yang juga Timbalan Pengarah Penerangan Sabah.

Selain, persembahan khas, “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” oleh artis-artis budaya LKNS serta artis-artis tempatan seperti Eylia Eyre Guntavid, Rosario Bianis, Fanzi Ruji, Rey Kimara, Ayien dan Masmona, sebelum pertunjukan bunga api sebagai penutup tirai sambutan./Penerangan-