KOTA KINABALU (15 SEPT) : Persatuan Bola Jaring Negeri Sabah (SABANA) mengakhiri penantian 20 tahun beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) XX.
Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Sabah, Chendramata Sinteh berkata SABANA telah membuat persediaan sejak 2019 bagi menghadapi SUKMA XX (2022), bagaimanapun ia ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.
“Latihan mula digiatkan kembali pada awal tahun ini dengan pemilihan akhir pada Jun 2022, disusuli latihan berpusat sebelum 12 pemain dan tiga pegawai berlepas ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September nanti.
“SABANA mendapat kerjasama Lembaga Sukan Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk memastikan persiapan yang dibuat berjalan lancar.
“Kami berharap dapat mencapai sasaran selaras slogan Go For Gold pasukan Sabah sekaligus menempatkan sukan bola jaring di persada sukan Malaysia,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Kali terakhir, pasukan Sabah beraksi di temasya SUKMA Sabah 2002 dengan pencapaian lapan pasukan terbaik.
Terdahulu, Toh Puan Norlidah menerima kunjungan Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PAWANIS) yang diketuai Pengerusinya, Tah Nia Jaman serta rombongan.
Menurut Tah Nia, kunjungan tersebut untuk menyampaikan jemputan kepada Toh Puan Norlidah bagi merasmikan Majlis Makan Malam Amal PAWANIS, pada 26 September ini.
“Majlis makan malam dwitahunan ini bertujuan mengutip dana bagi tujuan kebajikan ahli, warga pendidik dan pelajar yang ditimpa musibah.
“Oleh itu, PAWANIS mengambil ambil inisiatif mengumpul dana bantuan melalui program seperti makan amal agar mereka merasai kepedulian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah,” jelas beliau./Penerangan-