Pelajar lelaki trauma dibelasah, diugut rakan setingkatan

KUALA KANGSAR (15 SEPT) : Seorang pelajar lelaki tingkatan lima trauma selepas mendakwa dibelasah dan diugut rakan setingkatan dalam kejadian di sebuah sekolah di sini lewat Rabu.

Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika mangsa berusia 17 tahun berada di tandas sekolah sebelum dia dihampiri rakan setingkatan dan berlaku salah faham.

Dalam insiden itu, mangsa mendakwa dicekik dan dipukul di bahagian muka dan telinga, ditolak ke dinding dan dipukul di dada sehingga terjatuh selain ditendang beberapa kali.

Menurut ibu mangsa, Norwani Abdul Wahid, 41, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya itu pada malam hari kejadian selepas mangsa menangis kesakitan dan minta dihantar ke hospital.

Katanya, akibat kejadian itu,anaknya mengalami kecederaan tisu lembut di dada selain kesan lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan.

“Saya diberitahu ketika kejadian itu, ada beberapa lagi pelajar, namun mereka hanya melihat anak saya dipukul hingga lembik dan hampir pengsan.

“Kawan-kawan yang jumpa dia cuba bantu, namun, mereka tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah kerana bimbang akan dimarahi guru,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu pada Rabu dan mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit.

Katanya, sejak kejadian itu, anaknya bukan sahaja trauma berada di luar rumah, malah, dia juga takut untuk kembali ke sekolah.

“Apa yang saya bimbang sekarang, dia tidak berapa dengar apabila dipanggil. Dia seolah-olah pekak mungkin akibat disepak di bahagian telinga.

“Saya sedih dan kesal jika kesan akibat dipukul itu akan menyebabkan dia mengalami masalah pendengaran yang akan menjejaskan masa depannya nanti,” katanya.

Tambah Norwani, sesi perjumpaan telah diaturkan pihak pengurusan sekolah antaranya dan keluarga pelajar terbabit namun apa yang dikesalkannya tiada sebarang permohonan maaf dibuat mereka.

Malah katanya, pihak berkenaan pula menyalahkan anaknya sebagai punca kejadian itu berlaku.

“Selama lima tahun dia belajar di sekolah itu, belum pernah sekalipun kejadian seperti ini berlaku. Saya berharap pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dapat menjalankan siasatan secara adil,” katanya.

Sumber: Utusan