PSKS komited beri perlindungan kanak-kanak
KOTA KINABALU (15 SEPT) : Persatuan Sayangi Kanak-Kanak Sabah (PSKS) komited memberi perlindungan kepada kanak-kanak.
Pengerusi PSKS, Dr Habibie Ibrahim berkata, perlindungan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting yang perlu diberi keutamaan.
“Selepas negara dilanda Covid-19, statistik kemurungan, permasalahan isu dalam kalangan kanak-kanak terutama golongan remaja sama ada di bandar dan luar bandar semakin meningkat.
“Sehubungan dengan itu, persatuan ini ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan dan kahwin bawah umur,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Pelbagai aktiviti disusun PSKS bagi melaksanakan program kesejahteraan dalam usaha membantu kanak-kanak golongan B40 melibatkan kawasan Kota Kinabalu, Likas dan Keningau antaranya menyalurkan bantuan keperluan asas persekolahan.
Selain memperkenalkan peranan PSKS yang ditubuhkan pada tahun 2019, kunjungan tersebut juga bertujuan melantik Toh Puan Norlidah sebagai penaung persatuan.
Terdahulu, Toh Puan Norlidah menerima kunjungan Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Daerah Kota Kinabalu, Nirma Habibi.
Nirma menjelaskan tujuan kunjungan berkenaan adalah bagi menjemput Toh Puan Norlidah hadir ke program khatam Al-Quran 200 orang anak yatim dan tahfiz dijangka diadakan di Kota Kinabalu pada 28 September depan.
Sumber: Penerangan