JPKA perkenal Program ‘Homeward’ jaga kebajikan warga emas
TUARAN (13 SEPT) : Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) memperkenalkan Program ‘Homeward’ bagi memastikan penyertaan komuniti dalam penjagaan kebajikan ahli keluarga terutama golongan warga emas.
Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata, Program Homeward turut membekalkan peralatan untuk kegunaan pesakit terlantar di rumah mengikut keperluan seperti katil, tilam, kerusi roda, dan alat bantuan pernafasan (Oxygen Concentrator).
Katanya, lawatan berkala oleh jururawat, jurupulih anggota, jurupulih cara kerja dan pegawai kebajikan daerah juga akan dilakukan untuk memantau dan membantu pesakit mengikut keperluan.
“Program Homeward adalah satu bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh JPKA, berteraskan perkhidmatan komuniti agar masyarakat terlibat secara langsung dalam pengurusan dan penjagaan warga emas terutama bagi yang sakit dan memerlukan perhatian khusus.
“Program ini dapat memupuk rasa tanggungjawab, melahirkan perasaan kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang kuat sesama ahli keluarga,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program TABAH Daerah Tuaran di sini hari ini.
Program TABAH iaitu Tegas, Amanah, Berani, Adil dan Harmoni serta Program Kempen Sayangi Keluarga adalah anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Tuaran.
Juliah berkata, pembangunan pesat negara ini memberi kesan langsung terhadap peningkatan tahap kesejahteraan rakyat sehingga tanpa kita sedari masih terdapat segelintir golongan warga emas yang terabai, hidup sebagai gelandangan, tinggal bersendirian, daif, terlantar di hospital tanpa waris, dan menghidap penyakit kronik tanpa penjagaan yang sempurna.
“Kita yang peka dan prihatin berpendapat warga tua atau ibu bapa yang uzur, jika tidak mendapat penjagaan oleh ahli keluarga, akan menjadi isu besar masyarakat.
“Justeru demi membalas pengorbanan ibu bapa, tanggungjawab ahli keluarga terutama anak-anak adalah kewajipan dan komitmen sepanjang hayat,” jelasnya.
Menurutnya, berdasarkan rekod banci penduduk Malaysia pada 2020, jumlah penduduk negara ini yang berusia 60 tahun ke atas adalah sebanyak 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Beliau berkata, angka itu akan mencecah 15 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang.
Selain itu katanya, masalah penagihan dadah dalam kalangan masyarakat, ia menular dengan pelbagai kecanggihan dan golongan penagih dadah bukan sahaja dari kalangan anak muda malah golongan ’senja’.
Juliah berkata, berdasarkan laporan media massa, banyak kes jenayah ringan dan berat yang berlaku dikaitkan dengan kegiatan penagih dadah.
“Kesan dan pengaruh najis dadah mengakibatkan beberapa insiden yang menyayat hati. Mangsa dilaporkan hilang pertimbangan sebagai makhluk yang berakal, sehingga sanggup membunuh ahli keluarga, anak membunuh ibu, bapa membunuh anak dan lain-lain.
“Dalam zaman yang semakin canggih ini, kaedah untuk mendapatkan bekalan dadah juga amat mudah seperti melalui SMS atau perkhidmatan kurier.
“Selain itu, para pengedar dadah juga mengambil kesempatan menggunakan ‘keldai dadah’ untuk mengaut keuntungan, termasuk memperalat wanita dalam operasi pengedaran dadah,” jelasnya.
Menyentuh Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program Tabah, Juliah berkata, program dua dalam satu itu khusus untuk memberi kesedaran kepada komuniti setempat mengenai bahaya penyalahgunaan najis dadah dan pendidikan teknik dan kemahiran penjagaan warga emas.
“Saya percaya ilmu pengetahuan yang diperoleh dapat memberi kesedaran kepada para peserta dan apa yang dipelajari dapat dikongsikan bersama kaum keluarga dan jiran tetangga yang tidak berpeluang menghadiri program ini,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo