Kerjasama LAKSANA, Sabah tingkatkan infrastruktur

KOTA KINABALU (13 SEPT): Kerjasama di antara Agensi  Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) dengan kerajaan negeri memberi manfaat dalam meningkatkan infrastruktur di Sabah.

Ketua Pegawai Operasi LAKSANA, Reza Hatta berkata, kerjasama tersebut diadakan khusus dalam bidang pendidikan dan bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

“Tujuan kunjungan ini adalah untuk mengenal pasti peluang kerjasama antara LAKSANA dan agensi kerajaan negeri dan beberapa isu dikenal pasti antaranya bantuan dari segi pendidikan, menaik taraf bangunan, institusi pendidikan serta menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan luar bandar.

“Semua perancangan dijangka akan bermula pada bulan Oktober ini dan akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan untuk diselesaikan.

“Kita berharap dengan kerjasama ini, dapat membuka mata masyarakat akan perkara-perkara yang boleh dicapai sekiranya wujud kerjasama harmoni dan penglibatan pihak-pihak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni  di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LAKSANA, Datuk Wira Shahrul Nazri Abdul Rahim, Pegawai Strategi LAKSANA, Sharifah Khairiah Syed Abdul Hamid dan Pegawai Pejabat LAKSANA, Arif Ismail.

Sumber: Penerangan