Sabah akan terus tuntut 40 peratus di bawah Perkara 112D

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri tidak akan berputus asa dalam usahamya menuntut 40 peratus pemberian khas untuk Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian menerusi sidang video kepada Majlis Khas Mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hajiji juga berkata, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin telah bersetuju dengan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah berdasarkan mekanisme pentadbiran.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sabah bersetuju dengan Kerajaan Negeri Sarawak bahawa persetujuan TYT mesti diperoleh terlebih dahulu sebelum cadangan pelantikan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Beliau berkata, TYT juga bersetuju supaya seorang lagi wakil dari Sabah dan Sarawak dilantik ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Hajiji juga membangkitkan isu perlunya pos-pos keselamatan di sempadan Malaysia – Indonesia dipertingkatkan.

“Saya baru sahaja membuat lawatan kerja ke tiga pos kawalan keselamatan di sempadan (Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu) di Sebatik dan saya mendapati terdapat keperluan untuk kemudahan itu dinaik taraf,” katanya.

Ketua Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelantikan wakil dari Sabah sebagai ahli lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hajiji melahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana membentangkan kertas kerja untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak sambil menambah bahawa beliau berharap semua rancangan itu dapat dilaksanakan dengan lancar dan secepat mungkin.

Turut dipersetujui semasa mesyuarat itu, merit menambah kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat pembentukan Malaysia yang mana Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kabinet Persekutuan untuk dibincangkan.

Sumber: JKM