
Lagenda bola sepak bakal temui peminat pada Pesta Bola Merdeka Sabah Piala SMJ

KOTA KINABALU : Lagenda bola sepak negara termasuk dari beberapa buah negara lain bakal menemui peminat khususnya di negeri ini pada Kejohanan Pesta Bola Merdeka Sabah Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) pada 16 hingga 18 September ini.
Kejohanan yang diadakan sempena Hari Malaysia itu akan disertai sebanyak lapan buah pasukan iaitu masing-masing satu pasukan dari Johor, Selangor dan Sarawak manakala Sabah akan menghantar dua pasukan selain turut disertai pasukan dari tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.
Pengerusi Penganjur Bersama Kejohanan, Datuk Peter Anthony berkata, kejohanan yang julung kali diadakan di negeri ini turut menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM358,000.
Katanya, semua pasukan terlibat dalam kejohanan ini sudah mengesahkan penyertaan dan turut menghantar senarai pemain mereka.
“Sudah pasti kejohanan yang melibatkan pemain veteran campuran ini akan dapat memberi peluang kepada peminat dukan bola sepak khususnya di Sabah bagi menyaksikan pemain bintang yang pernah mewarnai kancah bola sepak dalam dan luar negara.
“Antara pemain yang bakal beraksi selain menarik perhatian peminat adalah seperti Fandi Ahmad dari Singapura, Matlan Marjan, Jelius Ating dan Burhan Ajui serta beberapa lagi pemain bertaraf bintang satu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JawatanKuasa Kejohanan di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Kejohanan Bersama Datuk Abdul Kassim Razali dan barisan jawatankuasa kejohanan Piala SMJ.
Peter berkata, juara bagi kejohanan ini akan membawa pulang hadiah bernilai RM120,000, manakala tempat kedua serta ketiga masing-masing akan menerima hadiah sebanyak RM70,000 dan RM50,000.
“Proses undian akan dijalankan pada minggu hadapan dan perlawanan pertama akan berlangsung pada 16 September ini di Stadium Likas bermula j jam 7 malam.
“Perlawanan pembukaan yang akan membabitkan pasukan Sabah itu bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya.
Katanya, peminat yang ingin menyaksikan secara langsung boleh hadir ke Stadium Likas dan kemasukan adalah percuma.