PRU-15 : Kerja kuat pastikan calon GRS menang di kerusi Parlimen Lahad Datu
LAHAD DATU: Pemimpin dan ahli-ahli parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lahad Datu digesa untuk terus bekerja kuat bagi memastikan calon gabungan itu menang kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sokongan para pemimpin dan ahli-ahli GRS juga perlu terus diterjemahkan bagi memastikan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Lahad Datu yang dipegang pembangkang juga dimenangi GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi DUN dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang oleh parti pembangkang juga dimenangi oleh GRS pada PRN akan datang.
“Tidak ada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang, kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu di Dewan Sri Perdana di sini hari ini.
Jelajah GRS ini merupakan yang ketiga dilancarkan selepas Parlimen Keningau dan Kudat.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang.
Katanya, hanya Wakil Rakyat daripada Kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada Lahad Datu.
Menurutnya GRS akan menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan.
“Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah,” katanya.
Lebih 4,000 orang menghadiri Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu.
Majlis itu turut dihadiri oleh presiden-presiden parti komponen GRS iaitu Presiden Sabah Progressive Party (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (STAR SABAH), Datuk Robert Tawik.
Turut hadir ialah Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Juil Nuatim, pemimpin Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP).
Sumber: JKM