Program SST bakal menjadi acara tahunan

KOTA KINABALU : Program Bakat Skrin Sabah (SST) yang julung kali diadakan bagi mengenalpasti bakat anak tempatan khususnya dalam industri kreatif dijangka akan dilaksanakan secara tahunan pada masa akan datang.

Pengarah Program SST Ramli Carlo berkata, program yang dilaksanakan bermula Mac lalu itu telah berjaya disertai seramai 66 peserta dari seluruh daerah di negeri ini bagi penganjuran edisi pertama.

“Sudah tentu program yang kita laksanakan bermula Mac lalu kini sudah mencapai kemuncak dan saya ingin menzahirkan penghargaan kepada penasihat kami iaitu Dato Dr Jelani Hamdan yang telah menjadikan semua ini realiti.

“Program yang dianjurkan ini adalah untuk mengenalpasti bakat anak tempatan selain mahu mengembangkan lagi bakat yang ada dalam menyemarakkan kemeriahan industri kreatif di negeri ini.

“Sudah tentu untuk perancangan akan datang, program ini dijangka akan dijadikan sebagai program tahunan dan akan mengenalpasti dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program itu di sini semalam.

Majlis SST itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Profesor Dr Mohd Nasir Ibrahim.

Ramli berkata, pihaknya juga akan menjemput lebih ramai rakan strategik termasuk (FINAS) sendiri untuk bekerjasama pada masa akan datang.

Sementara itu, Dr Mohd Nasir berkata, program yang dianjurkan dilihat sangat baik selain turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sabah dan berbangga atas usaha bagi membangunkan bakat-bakat yang sedia ada.

“Kita sedia maklum Sabah mempunyai sangat banyak bakat yang berbakat besar dalam pelbagai bidang.  Ini perlu diteruskan dan dibangunkan dengan lebih sistematik serta lebih besar.

“Dengan cara ini mereka di Sabah tidak ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan lagi industri kreatif di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jelani berkata, pihaknya mahu melihat industri kreatif khususnya bidang lakonan di negeri ini terus berkembang maju di Sabah.

“Saya juga melihat bakat yang ada di Sabah memang banyak dan tidak ketinggalan juga dalam industri kreatif. Saya juga melihat industri filem ini boleh dikaitkan dengan pelancongan.

“Oleh itu sampai masanya Sabah juga memikirkan bagaimana untuk mengindustrikan filem ini kepada industri pelancongan,” katanya.