994 orang mendapat latihan kemahiran kraf sejak 2016

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (12 NOVEMBER): Seramai 994 orang telah dan sedang mengikuti latihan kemahiran kraf di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) di Pusat Warisan Kraf Yayasan Sabah College of Technology (YSCT) sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag berkata, daripada jumlah itu, seramai 94 orang sedang mengikuti latihan kemahiran kraf pada tahun ini selama tiga sehingga 10 bulan.

Katanya, kerajaan persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) telah memperuntukkan sebanyak RM9.9 juta untuk program ini sejak tahun 2016 termasuk RM880,000 pada tahun ini.

“Apa yang membanggakan latihan kemahiran kraf ini telah memberi manfaat kepada hampir 1,000 anak-anak kita di Sabah. Saya juga dimaklumkan bahawa pelatih ini adalah yang sudah bekerja dalam industri kraf termasuk bekerja sendiri.

“Saya berharap Pusat Warisan Kraf YSCT dapat mentadbir dan mengurus pelaksanaan kursus kraftangan dengan sebaiknya di samping mampu mengendalikan Kursus Latihan Kemahiran Kraftangan yang berkualiti dan memberi pendedahan kepada pelatih mengenai produk kraf yang bernilai tinggi dan boleh dikomersilkan.