editor@bayunews.net
SANDAKAN (6 MAC): Sekurang-kurangnya 90 buah kediaman setinggan atas air melibatkan lebih kurang 459 orang penduduk di Kampung Cenderamata, Batu Sapi dekat sini musnah dijilat api, awal pagi tadi.
Menurut sumber awal, kebakaran berlaku pada jam 3 pagi ketika suasana masih gelap dan kebanyakan penghuni berada di dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, api dipadam sepenuhnya oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan pada 7.48 pagi.
Jelasnya, kebakaran tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kemudiannya diaktifkan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi,” katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kebakaran, disini.
Menurutnya, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan pihak bomba.
Operasi menyelamat turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).