77 buah masjid, surau di DUN Lumadan terima sumbangan

Beaufort : Sebanyak 77 buah masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini menerima sumbangan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.

Sumbangan yang disampaikan pada Program Ihya Ramadan peringkat DUN Lumadan itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan berkata, sumbangan melibatkan 33 buah masjid dan 44 buah surau itu melibatkan peruntukan sebanyak RM29,700 masing-masing menerima RM500 bagi setiap masjid dan RM300 bagi surau.

“Kita melihat dalam program ini, kita dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan dikalangan masyarakat untuk sama-sama berbuka puasa.

“Selain itu, kita juga berkesempatan untuk bersama Ahli Parlimen Datuk Matbali Musah walaupun beliau sibuk menghadiri sidang Parlimen yang sudah selesai dua minggu dan akan ada dua minggu lagi.

“Jadi maknanya peluang rakyat untuk bemesra kepada pemimpin itu sentiasa ada dan kita akan buat seperti in pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah Beaufort, Nazri Ajun dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan Joehari Manan.

Majlis tahunan itu adalah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sipitang dengan kerjasama Pejabat Perhubungan ADUN Lumadan dan Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan.

Selain sumbangan kepada masjid dan surau, turut diadakan sumbangan kurma dan bantuan kepada golongan asnaf di kawasan itu melalui Kerjasama dengan Pusat Zakat Sabah (PZS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Terdahulu, Sawit Kinabalu Berhad turut menyalurkan sumbangan untuk pembiayaan sebarang aktiviti kebajikan golongan kurang bernasib yang disalurkan kepada Pejabat ADUN Lumadan.

Sebanyak RM35,000 disumbangkan anak syarikat kerajaan negeri itu melalui Pengurus Besar Sawit Kinabalu Cawangan Beaufort, Muazzam Syah Idris yang mewakili Pengarah Sawit Kinabalu Berhad.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sipitang turut menyalurkan sumbangan RM500 dan RM300 masing-masing untuk masjid dan surau di kawasan berkenaan.