74 ketua isi rumah mangsa angin kencang terima bantuan di Pulau Gaya
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (12 DIS): Seramai 74 ketua isi rumah (KIR) di Pulau Gaya dekat sini menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM500 daripada Pusat Zakat Sabah, hari ini.
Kesemua penerima adalah mangsa terjejas selepas rumah mereka musnah dipukul ribut bulan lalu.
Sumbangan diserahkan menerusi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Datuk Ir. Shahelmey Yahya bagi pihak Pusat Zakat Sabah.
“Kita harap dengan sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kesemua mangsa bagi membaik pulih struktur rumah yang rosak akibat ribut, katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan tersebut.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Putatan turut memaklumkan selain daripada bantuan Pusat Zakat Sabah, difahamkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) juga akan menyalurkan bantuan kepada 74 ketua isi rumah yang terkesan itu.
Terdahulu, ribut kencang telah memusnahkan kira-kira 38 kediaman penduduk melibatkan beberapa kampung berhampiran dan infrastruktur bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya.