Tabung Amanah Lumadan Sejahtera ditubuhkan, bantu golongan memerlukan
Beaufort : Tiga perkara akan diberi keutamaan menerusi Tabung Amanah Lumadan Sejahtera yang dilancarkan Amanah Raya Berhad di sini hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, tabung bagi membantu golongan memerlukan khususnya di daerah Beaufort itu memfokuskan kepada bencana alam, pendidian dan kecemasan.
“Pagi ini kita telah melancarkan Tabung Amanah Lumadan Sejahtera yang mana kita mempunya tiga keutamaan iaitu bencana alam, pendidikan dan kecemasan. Bencana alam ini luas, ia termasuklah banjir yang melibatkan rakyat, yang perlukan pemindahan dan selain yang terputus hubungan, kabakaran dan yang lain-lain.
“Dari segi pendidikan pula, kita melihat di kawasan Lumadan ini sangat ramai anak-anak di bawah B40 yang memang dilihat sangat sukar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading, dan ini juga menjadi satu perhatian kita dalam penubuhan Tabung Amanah Lumadan Sejahtera.
“Manakala bagi kecemasan pula, sebagai contoh jika berlaku kemalangan atau keperluan yang mendasak pada golongan yang sangat-sangat memerlukan, ini adalah antara keutamaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Majlis Pelancaran Tabung Amanah Lumadan Sejahtera dan Agihan Zakat, di sini hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Amanah Raya Berhad, Tan Sri Idrus Harun.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, tabung berkenaan disasarkan mengumpul sejumlah RM200,000 dana bagi tahun ini daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta, dan para usahawan tempatan.
Beliau berkata, objektif penubuhan tabung itu adalah sejajar dengan slogan Lumadan Sejahtera yang mahu memastikan rakyat di kawasan berkenaan dibantu dengan sebaiknya.
“Kita yakin para penyumbang di luar sana, ini adalah satu platform yang jelas, tidak seperti scammer. Maknanya kita berdaftar dan sebagainya selain mempunyai polisi.
“Dan kita mempunyai penasihat daripada Amanah Raya Bhd. Dan sudah tentu mereka mempunyai keyakinan bila kita menubuhkan tabung Amanah Sejahtera ini,” katanya.
Majlis tersebut menyaksikan sesi penyampaian sumbangan zakat dan bakul makanan kepada 50 orang asnaf sekitar daerah Beaufort, serta penyerahan Mock-Cheque sejumlah RM10,000 yang disumbangkan Amanah Raya Berhad ke tabung berkenaan.