60 sertai Program Pemerkasaan Wanita

PENAMPANG (26 SEPT) : Program Pemerkasaan Wanita anjuran Kolej Komuniti Penampang menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan 60 orang peserta.

Pengerusinya, Noraini Idris berkata, program itu menawarkan lima kursus jangka pendek secara percuma.

“Sekiranya diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama dalam produktiviti dan ekonomi negara setanding dengan lelaki.

“Pada masa kini, terdapat ramai wanita yang mampu menjadi usahawan yang berjaya dan boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada golongan wanita yang lain,” ujar Noraini dalam majlis perasmian di sini, pada Ahad.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Kursus Penghasilan Aneka Kuih Tradisional, Kursus Pemasaran Dalam Talian, Kursus Asas Simpan Kira, Kursus Kraftangan dan Kursus Jahitan.

Sumber: Penerangan