
387 PATI dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan

SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
SANDAKAN (3 NOV): Seramai 387 pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dekat sini dipindahkan ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan dengan menggunakan feri MV Antonia terus ke Zamboanga, Filipina malam tadi.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, 372 daripada mereka adalah lelaki manakala 14 adalah perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berumur di bawah 12 tahun. Kesemua PATI sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Tawau.
Tambanya, kesemua PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini,” katanya pada kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan PATI agar memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan.
JIM komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selepas mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara.