
38 pasukan sertai Kejohanan Sepak Takraw Piala YB Datuk Ruslan Muharam

Beaufort : Sebanyak 38 buah pasukan dari pelbagai daerah di Sabah termasuk Sarawak dan Brunei menyertai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Sabah Piala YB Datuk Ruslan Muharam.
Kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula hari ini telah berlangsung di Dewan Perpaduan DHRM Kampung Lago di sini.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.
Ruslan ketika ditemui berkata, kejohanan yang diadakan itu dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara pasukan yang mengambil bahagian.
“Pada hari ini saya telah hadir bagi menyempurnakan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Sabah ini dimana sebanyak 38 buah pasukan telah menyertai.
“Daripada jumlah itu empat pasukan mewakili negara Brunei Darussalam, dua pasukan dari Sarawak dan satu dari Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Kejohanan itu dianjurkan Owl Sepak Takraw Club (OSTC) dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Beliau berkata, kejohanan yang julung kali diadakan di DUN Lumadan itu secara langsung dapat memberikan pendedahan kepada pemain-pemain sepak takraw khususnya daerah Beaufort.
“Selamat bertanding kepada semua pasukan, semoga kejohanan ini berlangsung dengan baik sehingga selesai,
“Tahniah kepada semua pihak sama ada secara langsung atau tidak bagi menjayakan kejohanan ini,” katanya.