26 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu ESSCom di Sandakan

editor@bayunews.net

SANDAKAN (2 FEB): Seramai 26 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan oleh Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dalam operasi mengekang jenayah rentas sempadan, dekat sini.

Menurut Komander ESSCom, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Operasi Bersepadu selama tujuh hari bermula 25 Januari hingga Khamis lalu mendapati sebanyak 410 rumah melibatkan 12 lokasi telah diperiksa dan 26 orang PATI ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal.

Katanya kehadiran PATI dibimbangi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Beliau turut menjelaskan jumlah nilai rampasan sebanyak RM16,951 di mana batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi serta barangan terkawal yang lain.

Dalam masa yang sama, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dilakukan.

Sementarta itu, ESSCom menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZone ke Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 011-63311072.