210 terima geran hak milik tanah di Kiulu: Hajiji

editor@bayunews.com

KIULU (2 NOV): Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor menyampaikan geran hak milik tanah kepada 210 penerima di sini yang melibatkan 327 ekar di bawah Program Khidmat Tanah Adat Anak Negeri Sabah (Pantas), kelmarin.

Beliau turut menyampaikan warta rizab kampung kepada 12 kampung seluas 205.6 ekar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

Antara kampung-kampung berkenaan Kampung Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama; Lingga, Poturidong , Mongkonihab, Tiong Tomburung dan Sukang Baru.

“Kerajaan Negeri menerima kehendak rakyat dan komited untuk mengeluarkan hak milik tanah kepada seberapa ramai rakyat di Sabah kerana ini melibatkan mata pencarian rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik. Program Pantas telah dilaksanakan sejak 2011 dan diteruskan oleh kerajaan GRS-BN,” katanya di Dewan Masyarakat Kiulu.

Terdahulu, Hajiji merasmikan majlis pecah tanah Pejabat Daerah Kecil Kiulu sebelum menghadiri taklimat pembangunan oleh Penolong Pegawai Daerah, Justin Ginduk.

“Tahniah kepada penduduk Kiulu kerana pejabat mukim adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu,” katanya.

Pada masa ini, pejabat Daerah Kecil Kiulu menggunakan kemudahan di Dewan Masyarakat sebagai urusetianya.

Memandangkan keperluan itu, Ketua Menteri tidak teragak-agak meluluskan RM5 juta bagi pembinaan bangunan baru sekretariat daerah kecil Kiulu di tapak seluas 2.5 ekar bersebelahan Dewan Masyarakat.

Beliau berkata, masyarakat di sini tidak perlu lagi ke Pejabat Daerah Tuaran atau Pejabat Daerah Kecil Tamparuli untuk melakukan dokumentasi seperti mendapatkan cop Pesuruhjaya Sumpah atau menjalankan urusan rasmi kerajaan kerana ia kini boleh dilakukan di pejabat daerah kecil itu.

Begitu juga dari segi projek pembangunan, Pejabat Daerah Kecil Kiulu kini boleh memproses dokumentasi seperti Bill of Quantities (BQ) dan skop kerja lain.

Malah, katanya Pejabat Daerah Kecil Kiulu boleh terus mengemukakan permohonan peruntukan projek kepada badan berkaitan.

“Ini adalah aspirasi Kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat termasuk di Kiulu,” katanya sambil menambah, pembinaan pejabat mukim itu juga menjadi bukti Kerajaan Negeri peka terhadap keperluan rakyat.

Kiulu, katanya, terkenal dengan produk eko-pelancongan dengan 70 pengusaha pelancongan swasta dan komuniti yang berdaftar dengan Persatuan Pelancongan Kiulu.

Kiulu juga merupakan pengeluar padi bukit, nanas, getah, koko, lada hitam dan ikan melalui sistem Tagal.

“Kekuatan Kiulu melengkapkan teras pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan dan pertanian untuk memacu pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Hajiji juga meluluskan permintaan penduduk kampung Kiulu untuk jambatan untuk Nulu- Mantob serta pembinaan dan naik taraf beberapa jalan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Rosmadi Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sr Bernard Liew.