200 kanak-kanak meriahkan Majlis Jamuan Teh

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (21 OKT) : Sempena Hari Jadi Rasmi Ke-69 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, kira-kira 200 kanak-kanak diraikan dalam Majlis Jamuan Teh di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Pada majlis tersebut, Tun Juhar menyampaikan bantuan kewangan RM1,000 kepada sembilan institusi kebajikan di Sabah iaitu Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah, Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah serta Sabah Society For The Deaf.

Selain itu, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Tanjung Aru, Kota Kinabalu dan Kem Lok Kawi turut menerima bantuan kewangan bersama dengan Sekolah Pendidikan Khas Pekan Tuaran serta Sekolah Pendidikan Khas Kota Kinabalu.

Majlis diserikan dengan enam persembahan tarian pelbagai suku etnik pelajar-pelajar sekolah rendah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan  Nabawan, SK Lingga Baru (Sekolah Berprestasi Tinggi) Tuaran dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) St James, SK Kolapis, SK Jambongan dan SK Bundu Apin-Apin.

Tidak ketinggalan, persembahan nyanyian daripada pelajar SK Padang Berempah, Sipitang, Qahirah Maisyarah Syahlil dan murid SK Lahad Datu 2, Sham Badrin Embakri.

Turut berlangsung, agihan kek hari jadi dan buah tangan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah R.M Jasni kepada kanak-kanak yang hadir.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Jadi Rasmi Ke-69 Yang di-Pertua Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Sumber: Penerangan