17 ribu pain darah berjaya dikutip BSMM Sabah sepanjang 2020-2021
Tuaran : Sebanyak 17,088 pain darah berjaya dikutip Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah sepanjang 2020 hingga 2021.
Pengerusi BSMM Negeri Sabah Datuk Asnan Yunus Chung berkata untuk tahun ini BSMM Sabah telah berjaya mengumpul sebanyak 6,000 pain.
“Pihak kami amat berharap sokongan orang ramai untuk menderma darah bagi mencapai sasaran 10,000 pain menjelang Disember ini.
“Usaha ini dilaksanakan bagi membantu unit tabung darah di hospital dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya ketika negara dilanda pendemik COVID-19 baru-baru ini,” jelas beliau ketika ditemui media pada Majlis Penganugerahan Pingat dan Sijil BSMM Peringkat Negeri di Dewan Sri Sulaman pada Sabtu.
Mengulas mengenai penganjuran majlis tersebut, Asnan berkata penyampaian sijil dan anugerah itu adalah sebagai menghargai jasa ahli BSMM yang sentiasa bertungkus lumus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya sepanjang pandemik COVID-19 dua tahun yang lalu.
“Pada malam bersejarah ini kita adakan pemberian anugerah yang tertangguh akibat pandemik sebagai mengiktiraf jasa ahli-ahli persatuan yang terlibat memberi bantuan pada program derma darah dan pemberian vaksin serta bantuan ke pelbagai kampung,” ujar beliau.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Juhar Mahiruddin berkenan hadir dan menyampaikan pingat kepada lebih 200 ahli Persatuan BSMM di Sabah Sempena Sambutan Hari Palang Merah /Bulan Sabit Merah Sedunia Peringkat Negeri.
Antara sijil dan pingat yang disampaikan dalam majlis tersebut ialah Pingat Perkhidmatan Lama, Pingat Jasa Terpuji, Ahli Seumur Hidup, Pingat Kebaktian Terpuji dan Anugerah Khas Semangat Kemanusiaan.
Hadir sama Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Pengerusi BSMM Kebangsaan Dr Selva Jothi A/L K Selvadura; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai Pengerusi BSMM Daerah Tuaran, Junaidy Azamain.
Sumber : Penerangan