
129 PATI dihantar pulang ke Filipina di Pelabuhan Sandakan

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
SANDAKAN (12 JAN): Seramai 129 orang PATI dihantar pulang ke negara asal di Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menerusi Program Pemindahan Tahanan PTI yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, di sini, semalam.
Pengarah (JIM) Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, mereka yang dihantar pulang melibatkan tahanan lelaki seramai 81 orang, perempuan (25); kanak-kanak 12 tahun ke bawah (17); dan kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah (6) orang.
Jelasnya, jumlah pecahan jantina bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah melibatkan enam orang kanak-kanak dibawah 23 bulan dan 17 orang kanak-kanak dari 23 bulan ke bawah sehingga 12 tahun.
“Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 12 tahun sehingga 70 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Siti Saleha turut menyatakan tahanan PATI kali ini hanya tahanan dari Depot Imigresen Tawau yang telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Hukuman dikenakan berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Beliau turut mengingatkan mana-mana warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di negeri Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.