127 Keluarga Terjejas Banjir di Zon Suasa Terima Bantuan Makanan

BEAUFORT : Seramai 127 keluarga di Zon Suasa yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menerima bantuan bakul makanan bagi meringankan beban mereka yang tidak sempat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir yang melanda daerah itu sejak 8 September hingga 18 September menyebabkan beberapa kawasan terputus hubungan selama hampir dua minggu.

Penduduk yang terjejas tidak dapat keluar dari kampung masing-masing dan bergantung kepada bantuan luar untuk keperluan harian.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, bantuan yang disalurkan merangkumi beras, gula, kopi dan keperluan asas lain.

“Di Zon Suasa, kita ada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) dengan 127 keluarga yang tidak berpindah ke PPS.

“Bantuan makanan ini diharap dapat meringankan beban mereka yang telah terperangkap selama lebih 14 hari,” katanya.

Penyerahan bantuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, dan diagihkan secara berperingkat mengikut keperluan.

Ruslan berkata, bantuan yang disalurkan datang daripada peruntukan kebajikan bencana alam daerah dan akan diteruskan kepada semua keluarga yang tidak berpindah ke PPS.

“Setakat ini, senarai yang kita terima daripada JKK menunjukkan hampir 5,000 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas. Kita akan terus salurkan bantuan secara berperingkat mengikut keutamaan,” katanya.