100 KIR terjejas banjir di Lumadan terima bantuan

BEAUFORT : Seramai 100 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan hari ini menerima bantuan bakul makanan dan sumbangan kewangan.

Sumbangan yany disalurkan menerusi Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) itu disampaikan Yang Dipertua 2 MUTIARA GRS, Datin Linda Ewit.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan ketika ditemui berkata, program itu bertujuan bagi meringankan beban mangsa bencana banjir yang melanda daerah berkenaan pada 8 hingga 18 September lalu, melibatkan seramai 4,206 KIR.

Katanya, setakat ini, sebanyak 1,000 keluarga telah menerima bantuan sementara lebih 3,000 lagi sedang dalam proses penyaluran oleh pihak Jawatankuasa Bencana Daerah.

Menurutnya lagi, usaha ini selaras dengan saranan Perdana Menteri agar penyaluran bantuan bencana alam diselaraskan melalui kerajaan negeri supaya lebih cepat dan teratur.

“Kerosakan akibat banjir bukan sahaja melibatkan jalan raya, tetapi juga rumah ibadah termasuk masjid dan surau, selain rumah-rumah tidak bertiang yang banyak mengalami kerosakan struktur dan perabot.

“Dengan adanya bantuan pusat yang disalurkan melalui kerajaan negeri, pengurusan dapat dipercepatkan dan sampai kepada mangsa yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan bantuan sampai kepada mangsa banjir dan berharap baki keluarga yang masih menunggu akan menerima bantuan dalam masa terdekat.