10 rumah setinggan musnah kebakaran di Lahad Datu
SEYBI SABBY
editor@bayunews.net
LAHAD DATU (14 NOVEMBER): Satu kebakaran berlaku awal pagi tadi melibatkan 10 buah rumah setinggan atas air musnah dijilat api menghadirkan suasana pilu apabila sekujur tubuh lelaki warga emas berusia 66 tahun rentung ditemukan di Kampung Puyut, dekat sini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.34 pagi.
Seramai 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) melakukan penugasan memadam kebakaran di lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, api yang marak telah memusnahkan semua rumah jenis tidak kekal di situ.
Api berjaya dikawal pada jam 5.41 pagi sementara operasi pemadaman ditamatkan pada jam 8.50 pagi tadi.
Mayat mangsa diserahkan ke pihak polis dan siasatan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.