10 Rumah Mesra SMJ diserah kepada penerima di kawasan DUN Lumadan

Beaufort : Sebanyak 10 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diserahkan kepada penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, ia merupakan usaha Kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, rumah yang diserahkan itu merupakan rumah yang disenaraikan menerusi rancangan pembangunan bagi tahun 2024.

“Kita mengharapkan dengan adanya program rumah mesra SMJ ini sudah tentu kita dapat membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan terutama yang rumah mereka sebelum ini sangat daif.

“Sudah tentu dengan adanya rumah ini, mereka dapat duduk dengan lebih selesa dan dapat merasakan apakah erti ‘Sabah Maju Jaya’ yang digariskan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui selepas menyerahkan kunci rumah mesra SMJ kepada penerima di sini pada Isnin.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, sehingga kini sebanyak 60 buah rumah telah siap bagi tempoh tiga tahun sejak 2022 hingga 2024.

“Dan sekarang ini, pembinaan rumah bagi tahun 2025 sebanyak 40 buah sedang dilaksanakan. Saya difahamkan, perkembangan sedang berjalan dalam 10 hingga 20 peratus,” katanya.