
10 pasukan bola tampar bersaing rebut Piala Datin Hajah Nursiah Santri

Beaufort : Sebanyak 10 buah pasukan terdiri daripada ibu bapa dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Padas Damit di sini menyertai pertandingan bola tampar bagi merebut Piala Datin Hajah Nursiah Santri.
Pertandingan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Padas Damit itu turut mendapat penyertaan daripada PIBG Zon Gadong.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Lumadan Datuk Ruslan Muharam di Padang SK Padas Damit di sini pagi tadi.
Ruslan ketika berucap berkata, pertandingan yang julung kali dilaksanakan itu pastinya akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru dan anggota PIBG sekolah rendah di zon Gadong.
“Sudah tentu, dengan melibatkan diri dalam acara sukan sudah pasti ianya akan dapat mengekalkan lagi kesihatan diri dan mental dengan baik setelah seharian bekerja atau melakukan pelbagai tugasan lain.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menyatukan PIBG zon gadong melalui acara sukan ini,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri mengucapkan selamat bertanding kepada semua pasukan yang mengambil bahagian dan semoga berjalan lancar.